Dengarnya…: Kahwin Saerah Sekadar Gosip




Oleh Normah Becok

BARU-BARU ini kawan Cik Normah yang menghadiri Sesi Temu Janji Bersama 10 Jejaka Idaman Cosmopolitan sempat bertanyakan Imran Ajmain mengenai kesahihan cerita mengenai hubungannya dengan adik Datuk Siti Nurhaliza, Saerah.

Cerita terbaru yang mula mekar mengenai hubungan baik mereka ialah kononnya Saerah bakal menamatkan zaman bujang dengan penyanyi lagu Seribu Tahun itu.

Mengimbas kembali hubungan rapat di antara mereka, artis naungan Metadome itu menjelaskan mereka berkawan rapat sejak dua tahun lalu. Gosip mula timbul buat pertama kali, apabila Imran hadir bersama Saerah ketika menonton konsert Akademi Fantasia musim keenam yang turut disertai kakak Saerah, Saida.

Akui Imran, gosip yang timbul itu sebenarnya makin membuatkan mereka terus rapat sehingga ke hari ini. Katanya lagi, kisah kahwin yang timbul itu tidak lebih daripada sekadar salah faham dan bukannya gimik yang dirancang ataupun publisiti murahan tanpa diundang.

“Apa yang saya fahami, dia (Saerah) hanya bercakap secara am mengenai hasratnya untuk berkahwin ketika usianya sudah mencecah 27 tahun. Temu bual itu dilakukannya dengan pihak media ketika sidang media mengumumkan konsert Datuk Siti Nurhaliza pada bulan depan. Bagaimanapun apabila kenyataan itu keluar daripada mulutnya, tempias tiba-tiba kena pada saya.

“Tak adil untuk saya dibabitkan sama dalam hal itu. Kami hanya berkawan rapat dan saling memahami. Sekiranya dia ada dengan jodoh lain yang ditentukan Tuhan, saya sendiri tak ada masalah. Saya sendiri sudah berusia 28 tahun dan datang daripada keluarga yang jujur. Kalau ada jodoh dengan sesiapa pun kelak, saya terima,” katanya.

Jelas Imran, dia tidak merancang melakukan ‘permainan’ sebegini kerana sejak awal lagi usia pembabitan seninya, namanya hadir dalam sisi yang bersih dan tidak tercalar dengan gosip pelik.

Berita Harian

This entry was posted in Siti Nurhaliza. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>