Cara Berbeza Penyanyi Indie




Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Ana Raffali

Ana Rafali lebih selesa berbaju kurung atau kebaya ketika membuat persembahan bersama gitarnya

SELEPAS Yuna, nampaknya industri hiburan tanah air mungkin akan disajikan dengan seorang lagi penyanyi wanita indie bernama Ana Raffali, 24. Bukan sekadar menyanyi, anak kesembilan daripada 11 beradik ini juga berkebolehan mencipta lagu.

Menariknya gadis yang tidak langsung mempunyai campuran darah asing ini hadir dengan imej berbeza yang jarang sekali dipraktikkan artis tanah air. Dengan gaya penuh ciri ketimuran dengan menyarungkan kebaya dan baju kurung sambil menyarung gitar di bahu, Ana sekali lagi mencipta kelainan.

“Idea memakai begini datang secara tidak sengaja. Ketika zaman belajar di universiti, saya sering membuat persembahan rasmi. Sambil bergitar, saya memakai baju kurung dan kebaya yang dianggap sebagai pakaian rasmi di universiti. Alih-alih, ia terus melekat dan menjadi cap dagang kepada saya.

“Tapi saya rasa tak salah untuk saya terus memartabatkan busana orang Melayu. Lagipun saya selesa dengan baju sebegini. Pakaian sebegini memang ringkas dan senang digayakan ke mana-mana. Setakat ini, saya memilih untuk berimej sebegini. Sampai bila itu, saya belum pasti penghujungnya,” katanya kepada Hip ketika hadir di Balai Berita minggu lalu.

Single pertama nyanyian dan komposisinya, Hujan Bunga Di Kuala Lumpur mula meluncur laju dimainkan di beberapa stesen radio tempatan. Lagu itu sebagai isyarat pengenalan kepada penggemar muzik tempatan. Graduan kelas ijazah pertama Sarjana Muda Pendidikan TESL ini pada mulanya bercita-cita mahu menjadi pendidik.

Bagaimanapun atas minat dan kecintaannya yang begitu mendalam di dalam entiti muzik, dia tidak mahu lagi menoleh ke belakang dan meneruskan cita-cita besarnya sebagai anak seni. Percaya dengan bakat yang anda perlu dikongsi, Ana kini menjadi artis sulung pertama di bawah naungan Aidit Alfian Records (AAR).

“Keluarga menjadi nadi galakan untuk saya terus menceburi bidang ini. Selain itu, antara yang terus menguatkan niat saya ialah arwah kakak, Wilma Halira yang tak pernah putus memberi sokongan sepanjang hayatnya. Paling jelas, saya mahu membantu mengurangkan beban keluarga.

“Bapa saya sudah bersara daripada pekerjaannya sebagai penyelidik di sebuah institusi. Ibu pula hanyalah seorang suri rumah. Selepas menghadiahkan keluarga dengan ijazah kelas pertama, sudah tiba masanya untuk saya mencari sisi sendiri untuk kepuasan masa depan saya.

“Bukan bermaksud saya tidak mahu menggunakan tiket kejayaan kelas pertama itu untuk bergelar cikgu, cuma saya mula memikirkan untuk serius dalam bidang yang saya benar-benar suka. Muzik membenarkan untuk saya lebih bebas berkarya.

“Malahan, menerusi lagu ciptaan saya, ada juga mesej positif yang boleh diterapkan semua orang. Saya bertuah kerana membesar dalam keluarga yang cintakan muzik. Biarpun hanya saya saja yang ke depan memilih bidang ini, saya rasa inilah peluang untuk saya membuktikan hala tuju yang saya pilih,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL di UiTM Shah Alam sejak Oktober lalu.

Ketika ini andai ditanya, apakah dia akan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, Ana menjelaskan memang belum ada ura-ura berbuat demikian. Sebaliknya, Ana mahu terus fokus dengan peluang yang diberikan komposer Aidit Alfian kepadanya.

Malah, kata Ana yang mengagumi bakat M Nasir sebagai komposer yang juga seorang penyanyi, dia juga berhasrat untuk membikin lagu bukan terhad kepada dirinya saja, sebaliknya untuk artis lain. Kontrak selama tiga tahun bersama AAR akan dimanfaatkan sebaik mungkin demi legasi seninya yang baru bermula.

“Saya menyertai AAR sejak awal 2008 lalu. Insya-Allah kalau tiada aral melintang, saya akan muncul dengan album memuatkan lagu berbahasa Melayu awal tahun depan. Genre muzik saya lebih pelbagai dan tidak terikat dengan satu konsep semata-mata.

“Kalau saya rasa nak menyanyi lagu blues, country, balada atau rancak, saya layan saja. Setakat ini, sudah ada lebih 30 buah lagu berbahasa Melayu dan Inggeris di dalam simpanan. Saya menulis lagu berdasarkan pengalaman sendiri dan orang lain termasuk pemerhatian di sekitar.

“Oleh kerana saya gemar membaca buku. Lalu, setiap lagu saya juga mempunyai signifikan tersendiri seolah-olah, saya bercerita di dalam lagu. Saya juga sebenarnya tidak mempunyai penyanyi pujaan yang spesifik kerana bimbang dibayangi cara penyampaian mereka,” katanya yang dijangka akan muncul dengan single kedua berjudul Cuba Jangan tidak lama lagi.

Suka berangan

MENCERITAKAN kembali permulaannya meminati muzik dengan lebih mendalam, ia bermula selepas Ana tamat persekolahan menengah. Ketika itu, pemilik bernama penuh Ana Nur Hidayah Mohd Raffali ini mengakui suka berangan untuk menjadi penulis lagu. Katanya, setiap idea yang tercetus hanya dilakarkan di dalam minda dan bukannya di atas nota bertulis.

Sesekali, kawan akan memainkan gitar mengikut rentak melodi yang dimainkannya. Bahkan, kerana tidak cukup duit, Ana sanggup berkongsi wang dengan kawannya untuk memiliki gitar kapok berharga RM139. Di usia 18 tahun, Ana belajar sendiri bermain gitar dengan berpandukan sebuah manual bertajuk Belajar Bermain Gitar Dalam 30 Hari.

“Saya pernah tinggalkan gitar itu selama empat bulan selepas terbabit dengan program pertukaran pelajar ke Jepun. Tapi nampaknya, minat saya terus bercambah kerana di sana, saya mendapat kawan yang turut gemarkan muzik. Dipendekkan cerita, saya kerap membikin lagu dan memuat turunkannya ke laman web, Youtube.

“Malah, saya sanggup korbankan duit dan melepaskan hasrat untuk bercuti ke Hokkaido demi membeli gitar baru di sana sekitar RM400. Sekembalinya saya ke Malaysia, minat itu semakin membuak-buak. Melalui laman Youtube, kawan saya ada hubungkan lagu saya ke laman sosial milik Aidit.

“Daripada itu, secara kebetulan saya pernah terserempak dengan Aidit dan kami ada berbual. Tidak lama selepas itu, Aidit ada menghantar iklan di ruang buletin di laman Myspacenya untuk mencari bakat baru. Saya mencuba nasib dan alhamdulillah diterima untuk menjadi artis naungan syarikatnya,” katanya yang mempunyai tiga koleksi gitar.

Profil
Ana Raffali

Nama Penuh: Ana Nur Hidayah Mohd Raffali

Tarikh lahir: 4 November 1985

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Profesion: penyanyi dan penggubah lagu

Genre muzik yang digemari: Rock, alternatif, pop dan klasikal

Idola: M Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza

Laman sesawang: www.anaraffali.com

Emel: saya@anaraffali.com

Berita Harian

This entry was posted in Siti Nurhaliza. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>