Oleh
Hanim Mohd Saleh
KEHEBATAN pementasannya mungkin tidak segah Anugerah Planet Muzik (APM) tetapi kesan yang dirasakan terhadap majlis penganugerahan bagi mengiktiraf industri muzik tempatan, AnugerahHitz.sg, yang pertama kali diadakan pada Sabtu lalu, cukup manis dan membuat ramai penggiat muzik tempatan tersenyum bangga.
Menerusi rancangan dua jam yang disiarkan secara langsung daripada Teater TV Mediacorp ke saluran Suria, pencapaian bakat-bakat tempatan akhirnya diiktiraf secara wajar di hadapan para peminat yang memberi sokongan bersemangat. Apatah lagi kesemua yang menjayakannya merupakan artis kelahiran Singapura. Bakat lama diketengah, bakat baru terus diperah.
Seperti yang dinyatakan Naib Presiden Persatuan Karyawan Muzik Melayu Singapura (Perkamus), Moliano Rasmadi, ketika ditemui di akhir majlis, seharusnya majlis seperti itu sudah lama dianjurkan di sini, bahkan ketika Singapura mempengaruhi pasaran dalam era ’70-an dan ’80-an dulu.
Biarpun pengiktifafan serupa cuba disertakan dalam APM sebelum ini, tumpuan tersasar kerana kepentingan lebih diberi kepada anugerah peringkat serantau.
Menerusi AnugeraHitz.sg, biar lambat, biar masih banyak kekurangan, yang penting langkah permulaan sudah dilancar.
Dari segi keputusan 10 anugerah yang dipertandingkan, memang tiada kejutan memandangkan kesemua pemenang memang merupakan artis-artis yang menguasai carta radio ketika ini.
Taufik Batisah menang besar dengan enam anugerah: Komposer Terbaik, Artis Terbaik, Album Terbaik (Suara Hatiku), Lagu Paling Popular (Nafasku dan Kepadanya bersama Hady Mirza menerusi lagu Kepadanya) dan Artis Paling Popular.
Namun kemenangan ini juga secara tidak langsung menggambarkan trend muzik yang menguasai udara dan kaca televisyen ketika ini, yang lebih tertumpu kepada genre R&B dan pop balada.
Lihat saja senarai pemenang lain. Ia tidak banyak berbeza daripada senarai pemenang dalam APM kategori Singapura sepanjang dua atau tiga tahun lalu.
Antara mereka termasuklah kumpulan Sleeq yang memenangi kategori Duo/Kumpulan Terbaik, Hady Mirza yang memenangi Anugerah Lagu Terbaik (Angkasa) dan Didicazli (Artis Paling Popular/ Lagu Paling Popular).
Justeru dapat difahami jika trend sebegini sedikit sebanyak membuat sebilangan artis yang selama ini berusaha gigih menghidangkan kelainan berasakan kehadiran mereka bagai ‘melukut di tepi gantang’.
Seperti kata pejuang irama muzik Melayu, Zubir Abdullah, ketika ditemui di majlis resepsi selepas acara berakhir: ‘Saya hanya mengharapkan keseimbangan dalam muzik kita. Kalau yang didedahkan hanya tertumpu kepada satu genre muzik, secara tidak langsung itulah muzik yang mempengaruhi pendengar. Muzik yang tak sedap, kalau setiap hari diputarkan di udara pun, akhirnya jadi sedap dan dapat diterima.’
Benar kata Zubir. Bahkan, jika trend itu berterusan, tidak mengejutkan jika majlis penganugerahan tahun depan pun kita akan melihat wajah-wajah yang sama saja sebagai pemenang.
Persada muzik tempatan mungkin masih terlalu kecil untuk dipecahkan kepada kategori mengikut genre muzik tertentu seperti irama Melayu atau kerohanian.
Apa pun, tentu penganjur boleh memikirkan kategori seperti ‘muzik baru’ atau ‘muzik kreatif’ bukan setakat untuk menampung karyawan yang kuat jati diri dalam genre tertentu, tetapi lebih penting menggalakkan muzik tempatan terus berkembang.
Dari segi persembahan, acara-acara malam itu boleh dianggap ‘menjadi’ kerana pemilihan penyanyi yang cukup bertenaga.
Lagu pembukaan Berpinda-Minda diberi sentuhan segar dan menjadi slogan tepat bagi pembukaan acara AnugeraHitz.sg.
Biarpun tidak dicalonkan, penyanyi Nana membuat penonton meremang bulu roma dengan lontaran suara yang cukup mantap membawakan lagu Lafaz. Begitu juga dengan penyanyi Salma yang sudah lama menyepi. Konsep nyanyiannya yang santai dan gemersik mengingatkan Singapura bahawa kita ada suara yang unik seperti Yuna dari Malaysia.
Penyertaan hos cilik, Mujahid Mahamood, sebagai MJ dari siri Almari Ajaib juga menambah rencah menarik kepada pengacaraan Fauzie Laily dan Fiza O.
Persembahan bintang-bintang rok yang menampilkan bakat-bakat daripada Anugerah Band, mengiringi Yantzen dan Hanafie Warren, tampak hebat bergaya, tetapi sebenarnya lebih menyakitkan mata (kerana masing-masing berebut perhatian kamera, menunjukkan kehandalan bermain muzik) dan membingitkan.
Saya amat menghargai segmen Dalam Kenangan yang menjunjung ingatan terhadap penulis lirik Allahyarham Haron Abdulmajid. Sekurang-kurangnya perjuangan insan seni di belakang tabir tetap mendapat tempat dalam persada muzik.
Sayang sekali penyanyi Elfee Ismail banyak terlupa lirik bagi lagu Dulu dan Sekarang, sedangkan ia seharusnya menjadi persembahan penghormatan untuk penulis liriknya yang dimaksudkan.
Penghormatan yang diberikan kepada penyanyi Rahimah Rahim bagi Anugerah Primera (anugerah perdana) yang pertama memang tidak perlu dipersoalkan kerana tidak ramai penyanyi seangkatannya yang berpengaruh besar dan masih meneruskan perjuangan sehingga sekarang.
AnugeraHitz.sg dianjurkan dengan kerjasama Mediacorp Suria, Warna 94.2 FM, Ria 89.7 FM dan Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass).
SENARAI PENUH PEMENANG
1) Duo/Kumpulan Baru Terbaik: Revalina.
2) Artis Baru Terbaik: Sarah Aqilah.
3) Penulis Lirik Terbaik: Erza daripada Kumpulan Diorama (Anti-Romantis).
4) Komposer Terbaik: Taufik Batisah (Nafasku).
5) Duo/Kumpulan Terbaik: Sleeq.
6) Artis Terbaik: Taufik Batisah.
7) Lagu Terbaik: Angkasa (Hady Mirza).
Tiga Lagu Paling Popular: Nafasku (Taufik Batisah), Impianku (Didicazli dan Sleeq), Kepadanya (Taufik Batisah dan Hady Mirza).
9) Tiga Artis Paling Popular: Didicazli, Taufik Batisah dan Hady Mirza.
10) Album Terbaik: Taufik Batisah.
11) Anugerah Primera: Rahimah Rahim.
Sarah Aqilah